Isnin, 12 April 2010

Berkenaan Mati

Sudah berapa lama Ia menghendap di situ? Tanpa kita sedari langkah kita sudah dipenuhi bayangnya. Mereka kata bahagian pertama mereput bila kita jadi bangkai nanti ialah luka-luka yang tidak sembuh di tubuh. Bagi banyak antara kita, bahagian itu ialah hati.

Apakah kematian? Tiada siapa boleh menjawabnya dengan pasti. Kita hanya ada teori-teori yang entah betul entah tidak. Tapi kita tak perlu banyak berfikir tentangnya kerana setiap kita pasti akan menemukan jawapannya satu hari nanti.

Bunga akan layu, wajah yang licin akan berkerut hingga akhirnya mereput. Kesementaraan membuat setiap saat hidup itu lebih manis dan indah. Jika kita tidak melihat keindahan itu bermakna kita belum benar-benar membuka mata. Atau mungkin kita sudahpun menutupnya.

Kita hidup, kita mati. Kita tak perlu memikirkan mengapa kita hidup dan mati. Kita tak akan dapat memikirkan itu.

Kita ketawa bila kita mahu ketawa, kita menangis bila kita mahu menangis. Hidup ini sebenarnya mudah bila kita tidak memberatkannya. Hiduplah sepenuhnya, hargai setiap saat hidup tapi jangan dibelenggu olehnya. Begitu, matipun akan jadi mudah.

Khamis, 25 Februari 2010

Persoalan Takdir

Tidak ada kebetulan dalam hidup, semua berjalan mengikut perancangan Takdir. Ya, aku memang seorang yang pasif, percaya kita tidak mencipta nasib tapi nasiblah yang mencipta kita.

Itu pandanganku sekarang, dan pandangan itu juga dicipta oleh nasibku. Benihnya lahir selepas kau meninggalkanku dulu dan tumbuh subur di atas lukaku…

Jadi, kau sudah bahagia sekarang?

Punya sekuntum bunga penghias taman yang mewarisi mata, hidung dan bibirmu, Juga ciri-ciri ayahnya… dia sungguh comel!

Tapi mungkinkah akan lebih comel jika dia mengikut aku? Tidak, aku tidak cemburu, hanya berjenaka… gembira melihat kehidupanmu sempurna, kau sudah mengelilingi dunia, mimpi-mimpimu jadi nyata. Itu semua tak akan berlaku jika kau masih bersamaku. Aku pasti,
kerana kalau tidak mengapa kita mesti berpisah?

Bila kufikirkan kembali bagaimana dulu aku pernah berjanji memberi langit kepadamu, aku tak pernah menyangka akan jadi kini aku pula yang memberikan diriku kepada langit itu.

Takdir Maha Bijaksana tahu apa yang terbaik untuk kita. Dan bila aku katakan terbaik aku tidak maksudkan termanis. Apa yang baik itu mungkin pahit, selalunya pahit. Tapi kita mesti menelannya dengan penuh walaupun kita tidak tahu kesannya. Hanya dengan penerimaan kepahitan itu dapat menjadi ubat.

Kekecewaan membawa aku ke satu daerah baru, dan di situ aku hidup selama ini, mencari jawapan di sebalik persoalan takdir…

Selasa, 2 Februari 2010

Muda

Aku tak dapat mencari apa-apa dalam fikiranku untuk dituliskan. Semua falsafah kosong membakar kerongkong, lebih tajam daripada asap yang ku serap. Mungkin aku akan mati muda, tapi bukankah Jim Morrison mati jauh lebih muda daripadaku? Jebat juga mati muda, dibunuh kemudaannya. Tapi Tuah mati bagaimana? Lemas dalam airmata?

Pedulikan aku, semuanya sama saja bagiku, hanya debu... Tapi debu pun debulah asalkan aku dapat jadi semua yang kau peluk.

Semua sudah sempurna atau tak ada langsung kesempurnaan itu hanya dua cara mengatakan yang sama. Jadi tolonglah. Jadikan aku sepenuhnya atau jangan jadikan aku apa-apa.

Isnin, 25 Januari 2010

Puisi

di tahap terendah sebenarnya doa, berpuisi sembahyang, percubaan untuk berhubung dengan yang diam di dalam. Di tahap tertinggi ia jadi firman, penyampaian kata-kata tuhan, susunan bunga-bunga yang tak perlu dipandang untuk jadi indah dan suci. Puisi hanya mahu kembang, menunggu kumbang.

Ia melimpah dari hati seperi darah kotor daripada luka yang amat dalam. Berpuisi membersih dan memutih yang hitam. Arus puisi mengalir tanpa sangkut di mana-mana., sangkut dengan sesiapa, terus ke lautan. Penyair hanyalah ranting yang hanyut.

Rabu, 4 November 2009

Nama Sama

Siapa kata itu kebetulan saja nama Allah sama banyak dengan nama Shiva dan salah satu nama mereka sama dengan nama saya?

Jumaat, 30 Oktober 2009

Pesan Dari Kubur


Tatkala daun diusung angin seperti keranda terbang ke muka sungai, membawa daun kering entah ke mana? Baru mahu ku susur hanyutnya satu panggilan telefon membawa kabar dari kubur. Seorang rakan lama dari sana memesan sekaton rokok, sedozen bir, dan papan luncur?

Khamis, 15 Oktober 2009

Jadikan Satu

Malam dan siang dekat padaku daripada nafas jauh daripada yang paling jauh semut yang paling kecil dan padang yang paling luas anak ayah dan ibu segala sejuk dan panas subur yang tandus dan tenang yang ganas paduka turun padaku naik datang! Datanglah gemilang! pijak gunung lembah angkasa hilang pecah seribu bulan satukan jadikan satu jadikan satu.

Selasa, 13 Oktober 2009

Sajak Hitam

Bulan, kita minum susunya dan kita perkosa! malam jadi makam berbisik bisu...

Rabu, 30 September 2009

KOTA KATA

CINTA ITU CANDU ITU CANDI ITU CINTA ITU BUTA KITA KATA ITU CINTA ITU CANDU BATU BATA KOTA KATA KOTA KATA KITA ITU KOTA ITU BATU ITU BUTA ITU CANDI ITU CINTA ITU CANDU ITU BATU BUTA ITU JADI CANDI CINTA JADI CANDU KITA

Selasa, 15 September 2009

Dunia Aneh

Seekor burung hantu bertenggek di atas kepalaku dan aku melihat melalui matanya;dunia yang aneh. Aku sendirian dalam tongkang purba, berlayar entah ke mana. Seekor garuda berlegar di angkasa dan aku takut ia akan melanggar kapalku. Aku mahu ia pergi tapi aku juga perlu angin daripada kepaknya untuk menggerakkan kapalku. Seekor singa berjaga di pintu kabin. Ia mengaum marah bila aku cuba keluar tapi bila aku masuk pula ia mengangkat cakar...