Isnin, 12 April 2010

Berkenaan Mati

Sudah berapa lama Ia menghendap di situ? Tanpa kita sedari langkah kita sudah dipenuhi bayangnya. Mereka kata bahagian pertama mereput bila kita jadi bangkai nanti ialah luka-luka yang tidak sembuh di tubuh. Bagi banyak antara kita, bahagian itu ialah hati.

Apakah kematian? Tiada siapa boleh menjawabnya dengan pasti. Kita hanya ada teori-teori yang entah betul entah tidak. Tapi kita tak perlu banyak berfikir tentangnya kerana setiap kita pasti akan menemukan jawapannya satu hari nanti.

Bunga akan layu, wajah yang licin akan berkerut hingga akhirnya mereput. Kesementaraan membuat setiap saat hidup itu lebih manis dan indah. Jika kita tidak melihat keindahan itu bermakna kita belum benar-benar membuka mata. Atau mungkin kita sudahpun menutupnya.

Kita hidup, kita mati. Kita tak perlu memikirkan mengapa kita hidup dan mati. Kita tak akan dapat memikirkan itu.

Kita ketawa bila kita mahu ketawa, kita menangis bila kita mahu menangis. Hidup ini sebenarnya mudah bila kita tidak memberatkannya. Hiduplah sepenuhnya, hargai setiap saat hidup tapi jangan dibelenggu olehnya. Begitu, matipun akan jadi mudah.

0 ulasan: