Khamis, 25 Februari 2010

Persoalan Takdir

Tidak ada kebetulan dalam hidup, semua berjalan mengikut perancangan Takdir. Ya, aku memang seorang yang pasif, percaya kita tidak mencipta nasib tapi nasiblah yang mencipta kita.

Itu pandanganku sekarang, dan pandangan itu juga dicipta oleh nasibku. Benihnya lahir selepas kau meninggalkanku dulu dan tumbuh subur di atas lukaku…

Jadi, kau sudah bahagia sekarang?

Punya sekuntum bunga penghias taman yang mewarisi mata, hidung dan bibirmu, Juga ciri-ciri ayahnya… dia sungguh comel!

Tapi mungkinkah akan lebih comel jika dia mengikut aku? Tidak, aku tidak cemburu, hanya berjenaka… gembira melihat kehidupanmu sempurna, kau sudah mengelilingi dunia, mimpi-mimpimu jadi nyata. Itu semua tak akan berlaku jika kau masih bersamaku. Aku pasti,
kerana kalau tidak mengapa kita mesti berpisah?

Bila kufikirkan kembali bagaimana dulu aku pernah berjanji memberi langit kepadamu, aku tak pernah menyangka akan jadi kini aku pula yang memberikan diriku kepada langit itu.

Takdir Maha Bijaksana tahu apa yang terbaik untuk kita. Dan bila aku katakan terbaik aku tidak maksudkan termanis. Apa yang baik itu mungkin pahit, selalunya pahit. Tapi kita mesti menelannya dengan penuh walaupun kita tidak tahu kesannya. Hanya dengan penerimaan kepahitan itu dapat menjadi ubat.

Kekecewaan membawa aku ke satu daerah baru, dan di situ aku hidup selama ini, mencari jawapan di sebalik persoalan takdir…

Selasa, 2 Februari 2010

Muda

Aku tak dapat mencari apa-apa dalam fikiranku untuk dituliskan. Semua falsafah kosong membakar kerongkong, lebih tajam daripada asap yang ku serap. Mungkin aku akan mati muda, tapi bukankah Jim Morrison mati jauh lebih muda daripadaku? Jebat juga mati muda, dibunuh kemudaannya. Tapi Tuah mati bagaimana? Lemas dalam airmata?

Pedulikan aku, semuanya sama saja bagiku, hanya debu... Tapi debu pun debulah asalkan aku dapat jadi semua yang kau peluk.

Semua sudah sempurna atau tak ada langsung kesempurnaan itu hanya dua cara mengatakan yang sama. Jadi tolonglah. Jadikan aku sepenuhnya atau jangan jadikan aku apa-apa.